Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Monday, 31 October 2016

UPSR - Bahasa Melayu: Contoh/Karangan Terpilih


Tiga Jam Berenang Tolak Bot
Atlet renang, Yusra Mardini bersama kakak selamatkan pelarian Syria di Laut Aegean
Pengalaman Mardini bersama kakaknya akan terus diingati dan dijadikan motivasi.
Pengalaman beraksi di Olimpik juga memberikan saya peluang untuk bersuara memperjuangkan pelarian.
Sumber: BH/siapa&apa/Ahad, 30 Oktober, 2016
Sukan Olimpik Rio 2016 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang dan penuh kisah suka duka atlet bertanding dari seluruh dunia.
Ramai atlet hebat berjaya menonjolkan diri dan ramai juga ramai atlet muda berpotensi yang mencuri tumpuan tetapi perenang dari Syria, Yusra Mardini menjadi tumpuan lensa kamera kerana keunikan latar belakangnya.
Jika atlet lain berbangga mewakili negara masing-masing, lain pula bagi Mardini yang beraksi di bawah bendera Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, mewakili pasukan pelarian.
Mungkin ramai harus berterima kasih kepada Mardini atas usaha dilakukannya kira-kira lebih setahun lalu.
Ketika menaiki bot kecil bersama kakaknya, Sarah serta 18 pelarian lain untuk melarikan diri ke Greece, enjin bot mereka gagal berfungsi.
Ceritanya bermula apabila hampir keseluruhan pelarian itu tidak tahu berenang tetapi kemahiran yang dimiliki Mardini dan kakaknya berjaya mengelak berlaku sebarang tragedi buruk.
Jadi motivasi
la mungkin cerita menakutkan tetapi ketika kejadian itu, Mardini, kakaknya dan dua lagi pelarian yang mahir berenang secara sukarela terjun ke dalam Laut Aegean untuk menolak perahu ke darat di Lesbos.
Walaupun terpaksa berenang selama tiga jam untuk memastikan kesemua 18 pelarian lain selamat sampai ke darat, Mardini menjadikan kejadian itu sebagai motivasi buatnya untuk terus berjaya dalam hidup.
Hidupnya pantas berubah dan tumpuan meluas diberikan kepada Mardini apabila memenangi saringan pertama 100 meter kuak kupu-kupu selepas merakam masa l minit 9.21 saat.
“Saya masih ingat jika tidak tahu berenang, saya mungkin tidak lagi hidup. Ia memori yang positif buat saya.
“Pengalaman beraksi di Olim­pik juga memberikan saya peluang untuk bersuara memperjuangkan pelarian.
“Saya mahu menukar persepsi terhadap pelarian. Ia bukan pilihan kami untuk melarikan diri dan kelompok ini juga mampu mencapai sesuatu yang dihajati,” katanya.
Kecekalan Mardini itu dalam menyelamatkan nyawa pelarian dan penyertaannya di Olimpik nyata membuka mata ramai pihak. Kini gadis ini berpeluang menyampaikan amanat serta impiannya pela­rian kepada pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Potensi menyerlah
Kini beliau tinggal di Jerman dengan kehidupan lebih baik. Perkembangan itu membolehkan beliau menjalani latihan dengan sempurna dan dilabel antara perenang berpotensi untuk menyerlah di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Mardini juga diberi lebih peluang untuk merealisasikan impiannya dan kini langsung tidak kenal erti penat untuk menukar tanggapan terhadap pelarian di seluruh dunia.
“Saya mahu semua orang fikir yang pelarian juga adalah manusia normal tetapi hanya tidak ada tanah air.
“Semua itu hilang bukan kemahuan mereka. Melarikan diri dan menjadi pelarian juga bukan pili­han mereka sebaliknya semua itu terpaksa dilakukan demi mengejar cita-cita.” katanya. Agensi


Poitik Kampus Jumud?
Mahasiswa matang, focus tujuan utama lanjutkan pelajaran
Lebih separuh kerusi dimenangi tanpa bertanding pada pemilihan MPP Sesi 2016/2017 di 10 UA
Oleh Basir Zahrom
BH/IPT/Khamis, 3 November 2016
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, senario pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dilihat kian tenang di rata-rata universiti awam (UA) tanpa insiden melampau atau ketegangan serius dilaporkan.
Bagi pemerhati umum yang lazim mengikuti perkembangan pemilihan MPP di kampus saban tahun, perubahan jelas ketara dengan semakin ramai calon memperoleh kemenangan mudah tanpa perlu berdepan sebarang cabaran bertanding.
Berbanding pemilihan MPP dahulu yang hangat dengan saingan sengit membabitkan pertandingan banyak penjuru antara calon, ramai menyifatkan keadaan sekarang kian lesu, malah seolah-olah tidak terasa bahang kempen.
Situasi itu bukan sahaja berlaku di universiti ‘muda’, bahkan turut melanda UA senior seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dulunya cukup sinonim dengan suasana meriah calon berkempen bersama pelbagai isu disuar kan serta pemasangan kain rentang di serata kampus.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan segelintir pihak - adakah pemilihan MPP di UA sudah jumud sehingga melunturkan minat sebilangan mahasiswa untuk mengambil bahagian sebagai calon bertanding?
Berdasarkan maklumat dikumpulkan BH Varsiti, lebih separuh daripada jumlah kerusi MPP sesi 2016/2017 di 10 UA dimenangi tanpa bertanding, termasuk ada yang mencatat keputusan itu secara total.
Sebilangan pihak menyifatkan ketenangan musim pemilihan itu menunjukkan kematangan mahasiswa menjalani tempoh berkempen serta memberi mandat kepada calon berkelayakan untuk menjadi teraju mereka di kampus, namun ada juga yang skeptikal dan mengaitkan penyusutan kesedaran sebagai punca.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, bagaimanapun menolak persepsi negatif itu, sebaliknya menegaskan mahasiswa kini lebih memberi tumpuan kepada perkara yang akan membantu mereka selepas menamatkan pengajian kelak.
Katanya, dua aspek dititikberatkan golongan itu ialah kecemerlangan akademik dan sahsiah kerana memfokus kepada tujuan utama memasuki universiti, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
Sudah bersedia
Beliau berkata, majikan menekankan kepentingan kedua-dua aspek itu yang turut digariskan dalam lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pen­didikan Tinggi) bagi melahirkan pelajar holistik, justeru mahasiswa tidak meletakkan keutamaan pada politik kampus.
“Mahasiswa menyedari bahawa bukan mudah untuk menjadi calon bertanding dalam pemilihan MPP kerana perlu mengikuti kursus kepemimpinan tertentu, sudah bersedia menggalas tanggungjawab itu dan mempunyai reputasi baik dari segi akademik serta sahsiah.
“Oleh itu, mereka percaya calon menonjolkan diri untuk bertanding adalah golongan yang sudah bersedia dalam aspek terbabit, justeru tidak mahu membuang masa bertanding sesama sendiri.
Cerminkan keyakinan
“Dahulu, pemilihan MPP lebih hangat mungkin kerana mahasiswa disogok dengan sentimen politik luar yang dibawa ke dalam kampus. Namun, universiti kini menerusi program dijalankan dapat mengubah persepsi maha­siswa supaya lebih fokus pada matlamat sebenar mereka melanjutkan pelajaran,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Senada dengan Prof Mohammad Shatar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof, turut melihat senario itu lebih mencerminkan keyakinan mahasiswa terhadap calon bertanding, sekali gus memberikan sokongan dan enggan mencabar.
Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud faktor kurang kesedaran politik kampus yang membawa kepada keputusan banyak kerusi MPP dimenangi tanpa bertanding.
Tiket individu
“Memang diakui suasana pemilihan MPP kini tidak ‘sepanas’ dahulu tetapi mahasiswa masih ada pemimpin, bukan tiada.
“Bagaimanapun, kami tetap memupuk kesedaran mahasiswa terhadap politik, terutama mengenai tanggungjawab dan hak mereka sebagai warganegara Malaysia yang layak mengundi, dengan mengadakan program daftar undi selama empat hari di UM sebelum ini.
“Keadaan semasa politik negara juga mungkin memberi tempias sehingga banyak kerusi dimenangi tanpa bertanding dalam pemilihan MPP. Namun, senario di kampus tidak menggambarkan politik luar sepenuhnya kerana mereka bertanding atas tiket individu,” katanya.

No comments:

Post a Comment